IBU BAPA mana yang tidak risau jika anak mereka asyik mendapat nombor corot dan semakin tahun dia diturunkan kelas. Adakah kerana dia gagal bersaing, malas atau sebenarnya mempunyai masalah lebih serius sehingga menghalangnya mengikuti pelajaran pada kadar normal seperti murid-murid lain?

Dua tahun lalu, Nor Marziani Nazri diletakkan di kelas pemulihan dan sering menduduki tempat terakhir setiap kali peperiksaan akhir tahun.

Hari ini, murid Tahun 6 Sekolah Rendah Setapak Indah mampu tersenyum gembira sambil memberitahu dia mendapat nombor dua dalam peperiksaan kepada bapanya, Nazri Desa, 44, dalam bahasa isyarat kerana pekak dan bisu.

Marziani juga naik kelas ketiga dalam tempoh dua tahun setelah kemahiran membacanya meningkat membuatkan setiap mata pelajaran menjadi lebih jelas dan mudah difahami.

"Dulu saya cuma suka Matematik, sekarang saya paling suka Bahasa Melayu, Sains dan Bahasa Inggeris," katanya yang yakin dengan sasaran mendapat semua A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Begitu juga dengan Noor Saifah Ahmad, 41, ibu kepada Nur Kamalia, 10, dan Mohd. Anuar, 9, yang sedih apabila anak-anaknya itu ditempatkan di 'kelas harapan' (pemulihan) kerana hanya mampu mengenal suku kata mudah.

"Masa mereka tadika memang tak dapat kesan sebab tahu ABC tapi bila naik Tahun 2 pelajaran semakin merosot, bila suruh baca di papan tanda atau tulisan di surat khabar masing-masing garu kepala," kata ibu kepada lima orang anak ini.

Pun begitu, seperti Che Israfahmikinawati Ani, 32, mereka mendapat bantuan Global Peace Mission Malaysia (GPM) yang menganjurkan Program Literasi Kanak-Kanak JomBaca khas untuk anak-anak miskin yang buta huruf.

Kata ibu kepada Tunku Putra Isamudin Shah, 12, dan Izudin Shah, 8 ini, program yang menggunakan kaedah pembelajaran i-Sina itu berjaya mengubah keputusan anak-anaknya dari E kepada C dan B.

"Yang penting ibu bapa kena beri dorongan kepada anak-anak. Apa sahaja yang boleh kita lakukan, korban masa, bawa mereka pergi perpustakaan, tambah bahan bacaan dalam rumah sebagai latihan membaca," ujarnya.

Menurut Pengarah Program 2M i-Sina, Rahmalizah Ali, dalam usaha mengatasi masalah buta huruf bukan sahaja di kalangan kanak-kanak luar bandar malah di dalam bandar, ibu bapa perlu menilai tahap kemampuan sebenar anak-anak mereka.

"Jangan terlalu mudah anggap anak-anak boleh membaca kerana sebenarnya mereka belum mampu menguasai kemahiran membaca dengan sempurna," katanya.

Sebagai tambahan kepada program pemulihan yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah, Program JomBaca! menilai tahap kemahiran membaca murid-murid Tahun 1 hingga 6 .

Ia terbuka kepada murid-murid dari golongan miskin, anak yatim piatu, ibu tunggal dan ibu bapa orang kurang upaya (OKU) yang belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M).

Terdapat beberapa tahap atau kategori kelemahan penguasaan 2M iaitu:

1) Kenal huruf tetapi belum boleh membaca.
Ramai kanak-kanak kecil kenal huruf A hingga Z, sama ada melalui cara menghafal huruf tersebut (biasanya melalui nyanyian) atau mengenal bunyi huruf-huruf tersebut.

Namun, mengenal huruf tidak bermakna mereka boleh membaca. Malah, ribuan murid di sekolah-sekolah mampu mengenal nama-nama huruf namun mereka masih tidak mampu membaca dengan baik.

2) Hanya boleh membaca perkataan dengan dua suku kata.
Sistem pembelajaran membaca di negara ini kebanyakannya berdasarkan binaan dan gabungan bunyi suku kata serta bermula dengan perkataan dua suku kata terlebih dahulu.

Malangnya kategori murid yang hanya mampu membaca dua suku kata merupakan majoriti di kalangan kanak-kanak yang maju ke peringkat pembelajaran seterusnya di sekolah.

Mereka mampu membaca perkataan-perkataan dua suku kata ini dengan lancar dan yakin tetapi hanya terbatas serta belum menguasai kemahiran membaca dengan sempurna.

3) Kelihatan seakan-akan boleh membaca.
Kanak-kanak tertarik kepada gambar berwarna-warni yang menghiasi buku. Ini penting untuk menarik minat tetapi pada peringkat awal, buku seumpama itu mengakibatkan segelintir murid menghafal cerita tersebut.

Lama-kelamaan anak itu seolah-olah boleh membaca dengan lancar sebaliknya ia hanya menghafal ayat. Ibu bapa sukar mengesan tabiat ini dan boleh mengakibatkan murid itu tidak mampu membaca perkataan yang ditulis pada kertas lain.

4) Membaca dengan mengeja terlalu lambat.

Adakalanya kanak-kanak terlalu bergantung kepada kaedah membaca sambil mengeja dalam kepala.

Cara ini mengakibatkan pembacaan yang terlalu lambat dan jika keadaan ini berterusan dia akan merasai bebanan pembelajaran apabila Tahun 3 ke atas.

Ada di antara kanak-kanak ini mengambil masa beberapa minit untuk membaca satu ayat pendek tetapi rakan sebayanya habis membaca satu perenggan!

Tabiat mengeja harus dibuang kerana boleh mendatangkan masalah lain seperti sukar membaca perkataan dalam Bahasa Inggeris.

5) Membaca dengan laju tetapi salah.

Apabila disuruh membaca, ramai kanak-kanak yang belum boleh membaca dengan sempurna mengambil jalan mudah dan meneka perkataan yang dicuba dibaca.

Perkataan seperti 'selekoh' dibaca sebagai sekolah, 'belalang' sebagai belang dan sebagainya. Ada di kalangan murid sebegini yang mampu membaca dengan betul apabila perlahan tetapi menjadi gopoh bila disuruh membaca laju.

Tabiat 'meneka' perkataan mesti dibuang kerana menyebabkan kanak-kanak itu tidak faham apa yang dibacanya.

6) Tidak boleh membaca perkataan yang sukar seperti 'eksklusif', 'infrastruktur''atau 'penyelesaian'.

Ini adalah perkara biasa di kalangan murid yang belum mampu membaca dengan sempurna. Oleh kerana mereka membaca secara mengeja dan memecahkan perkataan kepada suku kata mudah, maka perkataan yang panjang dan sukar dieja adalah sukar untuk dibaca.

Masalah ini menyumbang kepada faktor mengapa murid-murid di Malaysia hadapi masalah membaca perkataan panjang dalam Bahasa Inggeris.

Perkataan dalam Bahasa Inggeris tidak boleh dibaca mengikut suku kata mahupun dengan mengeja, kerana huruf yang digunakan dalam perkataan tersebut lazimnya tidak konsisten.

7) Tidak boleh membaca perkataan yang tidak dikenali.

Kanak-kanak lebih gemar menghafal apabila diperkenalkan dengan perkataan awal (whole words) menggunakan flash card atau buku cerita.

Rahmalizah berkata, Ada kanak-kanak pintar yang dapat mengklasifikasikan penggunaan bunyi huruf-huruf dengan efisien lantas boleh membaca.

Namun terdapat segelintir yang terus terjerumus dalam dunia hafalan. Ini mengakibatkan kanak-kanak itu kelihatan seperti boleh membaca tetapi sebenarnya hanya mampu menyebut perkataan mudah yang dihafal sahaja.

Ini menyebabkan katanya, ibu bapa hanya menyedari anak mereka gagal menguasai pembacaan dengan betul selepas menjangkau usia 9 tahun.

Masalah berkenaan menyebabkan kanak-kanak yang tergolong dalam kelompok itu menjadi murung dan tidak bersemangat untuk belajar apabila melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar.

Akhir tahun lalu, program pemulihan 2M intensif dilaksanakan selama 32 hari membabitkan lebih 80 murid di Kompleks Anjung Rahmat, Jalan Gombak. Daripada jumlah itu, 76 menamatkan program dengan 74 daripadanya berjaya dipulihkan dan 42 murid tamat program dengan cemerlang.

Tahun ini, GPM memperluaskan bantuan pendidikan itu ke Wangsa Maju, Setapak, Sentul dan Sungai Pusu di Gombak Utara termasuk anak-anak Orang Asli di kawasan berkenaan.

Bilangan peserta yang dijangka meningkat lima kali ganda berbanding sesi sebelumnya memerlukan sokongan dan sumbangan semua pihak sama ada individu, syarikat awam, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Baru-baru ini, Tabung JomBaca! Program Literasi Kanak-kanak dilancarkan oleh Penasihatnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim di Petaling Jaya bagi memperkenalkan program itu dan mengumpul dana untuk melaksanakannya tersebut akhir tahunini.

Tabung JomBaca! akan digunakan untuk menampung kos kem membaca sempena cuti sekolah di bawah program JomBaca 2009 bermula 21 November sehingga 3 Januari 2010.

Setiap murid memerlukan RM750 untuk mengikuti program selama 32 hari itu termasuk yuran pengajian, makan minum, pengangkutan, perkakas (buku, alat tulis, kertas kerja) dan menerima sumbangan kelengkapan sekolah sebagai persediaan sesi persekolahan tahun 2010.

"Kali ini kami jangka kira-kira 500 murid menyertai program ini dengan lebih 300 permohonan dari ibu bapa yang mempunyai anak-anak menghadapi masalah membaca," katanya lagi.

ARKIB : 03/11/2009
Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN