Photobucket

Kanak-kanak berpendidikan khas mempunyai masalah tertentu seperti masalah fizikal, masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan, tingkah laku, masalah pendengaran, terencat akal dan pintar cerdas.

Kanak-kanak ini dikategorikan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak ini menunjukkan perkembangan yang berbeza daripada kanak-kanak biasa, misalnya keupayaan kognitif, fizikal yang terhad, kesukaran berinteraksi dan berkomunikasi.

Photobucket

MASALAH KECACATAN FIZIKAL

Masalah kecacatan fizikal merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan fizikal, dan memerlukan pengubatan atau peralatan khas seperti pendakap atau kerusi roda.

Photobucket

Ia termasuk ketidakupayaan berbentuk neorologi yang melibatkan otak dan urat saraf yang rosak serta kecacatan ortopedik yang melibatkan tulang, sendi dan otot.

Di antara masalah yang di kategorikan sebagai kecacatan fizikal ialah seperti cerebral palsy, epilepsy, spina bifida, muscular dystrophy, limb deficiencies, asthma, diabetes dan leukemia.


MASALAH PENGLIHATAN

Kanak-kanak yang dikategorikan sebagai mempunyai masalah penglihatan jika kerosakan penglihatan tersebut tidak dapt diperbetulkan dan mengganggu pembelajaran.

Photobucket

Kanak-kanak yang bermasalah penglihatan mempunyai penglihatan yang terbatas atau buta. Masalah penglihatan terbatas bermaksud tahap penglihatan kanak-kanak berada di antara 20/70 dan 20/200 dengan penggunaan lensa.

Penglihatan kanak-kanak ini terhad kepada objek yang dekat sahaja.

Kanak-kanak yang buta juga kadang kala mempunyai masalah pendengaran dan perkembangan psikomotor mereka agak terhad.

Keupayaan motor mereka sebenarnya tidak terjejas dari segi neurologi tapi dipengaruhi pergerakan meraka yang terhad.

Mereka tidak boleh meneroka persekitaran seperti kanak-kanak normal yang lain. Ini juga boleh memberi kesan ke atas perkembangan personaliti.

Kanak-kanak ini mempunyai konsep kendiri yang lemah dan perhatian lebih yang diberikan kepada mereka boleh menggalakkan pergantungan kepada guru dan rakan untuk sentiasa membimbing mereka.

Di samping itu, pengalaman mereka yang terhad dalam dunia visual memberi kesan pada perkembangan bahasa.

Misalnya, seorang kanak-kanak normal boleh memberi pelbagai contoh untuk perkataan bulat dan menghuraikannya dengan jelas jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan.


MASALAH PENDENGARAN

Terdapat dua kategori masalah pendengaran iaitu separa pekak dan pekak. Separa pekak bermaksud penggunaan alat pendengaran akan membolehkan kanak-kanak ini menerima pendidikan secara audio.

Photobucket

Kanak-kanak yang dikategorikan pekak perlu menerima pendidikan menggunakan sensori lain seperti penglihatan.

Tahap kehilangan pendengaran diukur dengan audiometer dalam unit decibel. Seseorang dikategorikan pekak jika tahap kehilangan keupayaan mendengar lebih daripada 70 decibel.

Mereka yang tergolong dalam separa pekak mempunyai tahap kehilangan keupayaan pendengaran antara 20 hingga 60 decibel.

Seseorang guru perlu peka kepada petanda masalah yang ditunjukkan oleh muridnya. Contoh, symptom seperti kerap meminta orang mengulang apa yang telah disebut.

Mereka juga mempunyai masalah untuk mengikut arahan dan salah faham kerap berlaku. Pertuturan kanak-kanak ini tidak lancar kerana masalah sebutan yang sangat lemah.

Mereka juga sering mempunyai masalah nada suara yang tinggi atau rendah dan sering memusingkan kepala untuk mendengar.

Masalah pendengaran menjejaskan komunikasi dan juga pembelajaran individu. Ketidakupayaan berkomunikasi ini memberi kesan kepada perkembangan sosial, emosi, bahasa dan kognitif individu tersebut.


MASALAH PERTUTURAN

Masalah pertuturan boleh dikategorikan kepada empat iaitu masalah sebutan, gagap, suara dan masalah bahasa.

Masalah sebutan ialah kecenderungan meniggalkan suku kata atau mengubah bunyi suatu perkataan. Misalnya “saya” kepada “caya”.

Photobucket

Gagap merupakan gangguan kepada kelancaran percakapan. Aliran percakapan terganggu di mana seseorang itu mungkin mengulang, berhenti seketika atau mencelah dengan suku kata atau perkataan.

Gagap berlaku apabila individu tersebut teruja dan ingin menyatakan sesuatu dengan kadar yang cepat.

Masalah pertuturan seperti masalah sebutan, gagap, dan suara boleh menimbulkan rasa malu dan menyebabkan kanak-kanak tersebut berasa tidak selesa dalam situasi sosial.

Ia mungkin tidak mengganggu pembelajaran seperti mana masalah biasa. Masalah bahasa biasanya memberi kesan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.

Photobucket