PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI

SK TAMAN BUNGA RAYA 1, BUKIT BERUNTUNG, 48300 RAWANG,SELANGOR

Terapi Air di lihat sesuai untuk perkembangan fizikal kerana kombinasi pergerakan motor kasar dan halus serta mental murid dapat dirangsang secara serentak. Pergerakan dalam air didapati lebih mudah dan bebas serta tidak dibebani oleh keperluan alatan sokongan selain daya apungan air sahaja.



Rangsangan air yang secara semulajadi dapat membantu murid tenang walaupun pada permulaannya sesetengah murid akan berasa takut untuk masuk ke dalam air. Perkara ini dapat diatasi dengan membawa murid ke kawasan cetek sebelum berpindah ke kawasan yang lebih dalam.



Secara tidak langsung guru-guru telah melatih membina keyakinan diri murid-murid "water confidence". Melalui terapi seumpama ini, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal dengan aktiviti-aktivi seperti regangan seterusnya melembutkan sendi dan meningkatkan daya ketahanan jantung dan otot-otot rangka.



Sepanjang pengalaman saya mengendalikan murid-murid pendidikan khas untuk menjalani terapi air ini, kebanyakkan murid ADHD dilihat tidak lagi berkelakuan aktif ketika berada di dalam air. Mereka kelihatan leka dan asyik bermain dengan objek-objek yang terapung di dalam air.

PENGENALAN

Pemilihan program terapi air bagi murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) adalah bagi memberi peluang kepada murid-murid bermasalah pembelajaran menjalani aktiviti dan program yang sama seperti murid-murid normal yang lain.

Program yang dirancang biasanya merupakan program awalan atau permulaan renang. Murid diajar berenang dan bermain air di dalam kolam yang cetek. Kawasan yang paling dalam di kolam tersebut berukuran kurang dari 1 meter.

OBJEKTIF

Aktiviti berenang dapat memberi keseronokan dan menggembirakan murid-murid bermasalah pembelajaran ketika berada di dalam kolam atau air di samping dapat membentuk sikap kerjasama dengan rakan-rakan mereka.

Ia juga membolehkan murid-murid bermasalah pembelajaran memperolehi kemahiran renang sama seperti murid-murid normal. Selain itu, renang juga merupakan salah satu latihan terapi (Hidroterapi/Terapi Air) bagi murid-murid PPKI ini.

DEFINISI DAN KONSEP

Terapi Air didapati sesuai untuk perkembangan fizikal dan pergerakan motor kasar dan motor halus serta mental murid-murid berkeperluan khas di mana segala otot-otot dan otak mereka dapat dirangsang, pergerakan dalam air lebih mudah dan bebas, serta tidak dibebani seperti keperluan alat sokongan yang menghadkan pergerakan.



Imbangan dalam air bukanlah masalah utama. Oleh itu lebih banyak pergerakan dapat dilakukan dan daya penumpuan individu dapat dipertingkatkan dan masalah tingkahlaku didapati tidak seperti lazimnya. Ini disebabkan oleh ransangan air secara semulajadi.

Walau bagaimanapun, murid-murid PPKI mungkin mengalami sedikit rasa takut dengan air. Di sinilah guru memainkan peranan membantu dalam membina keyakinan diri.

Hasilnya murid-murid akan dapat membina konsep diri yang positif melalui aktiviti terapi air ini. Melalui terapi air juga, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal melalui pelbagai aktiviti seperti regangan, melembutkan sendi-sendi, meningkatkan daya ketahanan otot-otot dan jantung. Banyak aktiviti dan pergerakan yang tidak dapat dilakukan di darat dapat dipraktikkan di dalam air.

Dalam hubungan ini, terapi air dapat meneroka pergerakan-pergerakan yang boleh dilakukan oleh murid-murid PPKI ini. Bagi sesetengah murid, mereka didapati lebih berkeyakinan di air berbanding di darat.

Kejayaan sesuatu program pengajaran bergantung pada prosedur pengajaran yang jelas, sokongan dan garis panduan yang diberi. Walau bagaimanapun garis panduan adalah sama untuk semua, hanya penyesuaian dan modifikasi diperlukan terhadap individu berkeperluan yang unik ini.



KEPENTINGAN TERAPI AIR

Terapi Air merupakan suatu bidang yang agak luas bertujuan untuk mengembalikan, memelihara dan memulih keadaan emosi, fizikal, psikologi dan spiritual kepada keadaan yang lebih baik atau normal.

Antara kepentingan Terapi Air ini ialah:

i. Menghilangkan tekanan
ii. Keupayaan berkomunikasi
iii. Simulasi sistem otak
iv. Bina keyakinan diri
v. Kreativiti
vi. Kawalan diri
vii. Latihan ‘Social skill’
viii. Merangsang pertuturan
ix. Melatih sikap bekerjasama
x. Meningkatkan kesabaran
xi. Pengamatan
xii. Latihan koordinasi badan dan anggota badan yang lain
xiii. Latihan daya kepimpinan
xiv. Manipulasi tangan dan jari-jemari
xv. Daya konsentrasi
xvi. Pembentukan ‘body image’
xvii. Peningkatan ‘self-esteem’

PANDUAN KESELAMATAN

Sebelum menjayakan aktiviti renang untuk murid-murid PPKI ini, faktor yang paling penting dan perlu diambil kira adalah faktor keselamatan. Kita melihat faktor keselamatan ini dalam sudut ketidakupayaan fizikal dan tahap ketidakupayaan intelektual murid-murid tersebut.

i. Ketidakupayaan Fizikal

Guru hendaklah berada di dalam air dan bersedia untuk menerima murid ke dalam kolam. Semasa berada di dalam air hendaklah dalam kedudukan berdiri dengan kaki terbuka dan kepala berada di atas paras air.

Gunakan bahagian atas badan untuk mengawal imbangan dan sentiasa apungkan badan. Elakkan daripada menunjukkan perasaan bimbang kepada murid sewaktu berada di dalam air kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi bimbang dan takut.

Guru perlu sentiasa bercakap dan memberi galakkan kepada murid semasa mereka hendak masuk ke dalam air. ‘Eye Contact’ boleh membantu membina keyakinan murid. Latihan hendaklah dimulakan dengan memasuki kawasan sudut kolam yang cetek.

ii. Ketidakupayaan Intelektual

Ketidakupayaan intelek juga dialami oleh murid PPKI di mana tahap tumpuan yang singkat menyebabkan maklumat yang diberi tidak dapat disimpan dengan sempurna. Oleh itu, penjelasan guru perlulah ringkas dan tepat.

Ada murid-murid PPKI yang kurang persepsi kemahiran motor dan persepsi mengenai jarak atau kedalaman kolam renang. Maka persepsi yang tepat dan betul perlu disampaikan kepada mereka. Guru juga harus ingat bahawa murid-murid PPKI tidak mempunyai pencapaian kemahiran yang sama, namun pada satu keadaan atau ketika mereka mungkin boleh menguasainya.

AKTIVITI TERAPI AIR

i. Pendahuluan

• Memanaskan badan dan meregangkan otot.

ii. Isi Pelajaran

• Bermain-main di tepi air.
• Murid masuk ke dalam kolam dengan bantuan guru dengan cara yang betul
• Guru membantu murid mengadakan aktiviti-aktiviti ampungan.
• Melakukan aktiviti berjalan di dalam kolam dengan bantuan guru.
• Aktiviti renang dengan bantuan guru.
• Aktiviti renang bebas menggunakan bola dengan pemerhatian guru.
• Murid keluar daripada kolam dengan menggunakan kaedah tertentu.

iii. Penutup

• Aktiviti kelonggaran dan regangan tangan dan kaki.
• Mengemaskan dan membersihkan diri.

WAJAH-WAJAH CERIA PPKI...


PN FAUZIAH BT AMRAN
GPK PENDIDIKAN KHAS
(CIKGU YAH)


PN AZILAH BT HARON
(CIKGU ILAH)


PN CIK SUSILAWATI BT MUHAMMAD
(CIKGU SU)


PN ROSNIZAWAT BT RAHMAT
(CIKGU ROS)


PN RAZIYAH BT ALI
PENYELARAS PPKI
(GIKGU GEE)


PN WAN NURULHAFIZA BT WAN MAHMUD
(CIKGU NURUL)


PN NORWATI BT HASIM @ YAHYA
(CIKGU ATUTI)


PN UMI KALTHUM BT KALMI
(CIKGU UMI)


PN AZLINA BT MUHAMAD AZHAR
(CIKGU INA)


EN MAZRIZAL SUHAIRY B MOHD AKHIR
(CIKGU RIZAL)

Salam ceria buat warga guru Program Pendidikan Khas Integrasi SK Taman Bunga Raya 1.
Di kesempatan ini ingin dikalungkan jutaan terima kasih kerana sepanjang tahun ini banyak kejayaan yang telah kita kecapi bersama.

Berjayanya Majlis Perasmian Pusat Sumber Mini PPKI dan Tapak Refleksologi Taman Herba telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada semua terutama warga guru PPKI.
Justeru itu, sebagai menghargai penat lelah selama beberapa bulan , kami rakamkan wajah - wajah ceria ini di sekitar Tapak Refleksologi Taman Herba PPKI.

Di samping itu juga kita sering mengamalkan sikap bekerjasama dan bersatu hati. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Semoga amalan murni kita ini akan berterusan dan berkekalan.
Kita tepis semua tanggapan buruk yang diterima. Kita sepakat mengharungi cabaran yang tiba. Kita redho atas apa yang berlaku. Kita juga sepatutnya buang jauh-jauh andai ada sifat iri hati terhadap teman-teman.
Semua orang ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kita jadikan kekuatan teman-teman sebagai pembakar semangat untuk terus bersaing. Jangan jadikan kelemahan teman-teman sebagai sumber ketidakpuasan hati. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan yang buruk itu adalah sifat semulajadi manusia sendiri.

Semoga 2010 yang bakal pergi, pergi bersama kelemahan diri. 2011 yang bakal menjelma, membawa sinar baru dalam hidup kita.

Ingatlah...amanah yang diberikan kepada kita, besar nilainya di sana.
Ya Allah...Berkatilah rezeki kami. Semoga kami dapat menggunakannya ke jalan yang diredhoi.
Amin.

PELBAGAI GAYA MURID PPKI KETIKA PKSR2

Pada 19hb Oktober 2010 bersamaan hari selasa, telah bermulanya Penilaian Kemajuan Sekolah Rendah 2 (PKSR2) di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 dan tidak terkecuali murid-murid PPKI.

Peperiksaan ini akan berakhir pada 25hb Oktober 2010 iaitu isnin yang akan datang.

Pelbagai ragam murid-murid PPKI yang telah dirakam oleh lensa Cikgu Azlina Azhar... :)




Murid Unit 1 begitu tekun sekali. tidak pandang kiri dan kanan walaupun ketika gambar ini dirakam.


Aqilah berusaha nak habiskan menjawab soalan peperiksaan.


Adik Hasif menjawab soalan di Taman Herba PPKI bagi mencari ilham...:)




Ini Murid Unit 3 yang sedang bertungkus lumus menjawab soalan peperiksaan... :)



Vincent!!! Bila nak siap nih... makan dah 3 kali dah tapi tak siap menjawab lagi ni... :)



Punyalah tension adik Anuar nih sampai menguap....



Ini adik Aliff. Tekunnya menjawab soalan sehingga tertidur. Mungkin dapat jawapan dalam mimpi kot... hehhehehehe....


Buaya warna apa ek? susahnya soalan nih!!!! kata adik Yusra dalam hatinya.... :)



P/S: Semoga berjaya buat murid-murid PPKI yang cikgu sayangi.... Esok jawab soalan baik-baik. Doa cikgu bersama kamu... aminnn...




Terima kasih kepada Cikgu Zaleha kerana sudi memeriahkan lagi majlis ini.
Pink Colour gitu...



Waduh.... Sedap sehingga menjilat sudu. Licin.... Terima kasih kerana menerima undangan Kak Ina dan Kak Ogee ye... Pinggan siapa ni ye....



Di kesempatan ini juga diselitkan majlis ulangtahun kelahiran Cikgu Umi dan Mama Mimah. Yang ke berapa ye....



Kenyang rasanya bila tengok kawan-kawan berselera dengan juadah yang tak seberapa ni...



Terima kasih, Kak Yah dapat hadir makan bersama-sama kami. Lain kali kita datang lagi ye...

Akhir kata, Kak Ina dan Kak Ogee ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana kawan-kawan sudi menerima undangan kami yang tak seberapa ni. Terima kasih kerana PPM juga hadir walaupun terpaksa berjumpa dengan masa. Maklumlah...pukul 2.00 petang nak masuk kerja semula.
Terima Kasih daun Keladi.

RUMAH TERBUKA PPKI SKTBR1 2010

Pada 6hb Oktober 2010 bersamaan hari rabu, PPKI sekolah telah menganjurkan majlis rumah terbuka PPKI kepada semua warga sekolah. Sambutan yang diberikan oleh warga sekolah cukup mengharukan kami. terima kasih semua...







Pada 29 Oktober 2010, telah berlangsung Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2010 di stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Pasukan sekolah telah menyertai pertandingan ini buat kali pertama mewakili negeri Selangor Darul Ehsan ke peringkat kebangsaan setelah muncul Johan peringkat negeri Selangor.


Konsep pertandingan kali ini adalah "Culture and Heritage" dan pasukan robotik sekolah telah menampilkan konsep robotik yang cukup menarik dan menjadi tumpuan orang ramai yang mengunjungi Stadium Titiwangsa ini.

Pihak sekolah telah menghantar murid-murid seramai 80 orang sebagai kontinjen robotik bagi memberi sokongan dan sorakan semangat bagi pasukan sekolah dan Selangor. Terdapat 2 orang murid PPKI yang turut serta dalam kontinjen ini iaitu adil Halil dan adik Nur Ain.

Cikgu PPKI yang turut serta dalam kontinjen ini adalah cikgu Azlina Azhar dan cikgu Mazrizal.

Suasana didalam stadium begitu gamat dan riuh dengan sorakan "Selangor Boleh!", "SKTBR, Yes! Yes! Yes!", "SKTBR Aloha!" dan yang paling terbaik adalah aksi ombak manusia yang dilakukan oleh murid-murid sekolah yang dipimpin oleh cikgu Zainal dan cikgu Hezry.

Peserta eskay TBRone Generon 2010

Kontinjen Selangor (SK Taman Bunga Raya 1)

Cikgu Azlina, Cikgu Fazilah, Cikgu Azlinawati dan adik Nur Ain serta pasukan sorak

Guru-guru SKTBR1 yang turut memberi sokongan

Tahniah dan syabas kepada guru mentor, Cikgu Norhasmadi, pasukan robotik sekolah, guru-guru yang bertungkus lumus mengorbankan masa, tenaga, idea dan wang sendiri untuk pasukan sekolah kita.

Pasukan Robotik sekolah telah memenangi tempat ke-5 dan Anugerah Khas di peringkat kebangsaan 2010.


p/s:

1. Terima kasih kepada Guru Besar, Cikgu Zalinah Zubir kerana sokongan dan semangat serta ihsan gambar yang diambil dari facebook.

2. Terima kasih kepada semua Guru Penolong Kanan sekolah terutamanya Cikgu Zaini dan Cikgu Fauziah kerana melibatkan murid PPKI dalam program ini.

3. Terima kasih Cikgu Raziyah (penyelaras PPKI) dan PPKI sekolah diatas sumbangan manila-kad untuk membuat sepanduk dan poster dalam program ini.

Klik sambil menyumbang... Tiada bayaran dikenakan keatas anda...

Terapi air...

Kenali daku

PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI
SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN BUNGA RAYA 1
PERSIARAN BUNGA RAYA, BUKIT BERUNTUNG,
48300 RAWANG, SELANGOR

Followers

CARTA ORGANISASI PPKI SKTBR1

Klik sini...


ShoutMix chat widget