Photobucket

Tidak semua guru memilih untuk mengajar pendidikan khas. Bahkan ada guru yang terpaksa dan dipaksa untuk mengajar pendidikan khas disekolah. Ada guru ketika melapor diri terpaksa mengajar di seksyen pendidikan khas kerana tiada kekosongan di aliran perdana. Mahu tidak mahu, demi profesion keguruan itu sendiri, maka diterima tugas walaupun hati meronta-ronta.

Namun begitu, setelah beberapa bulan bersama dengan pendidikan khas, hati sudah tertawan dan begitu menyayangi suasana dan anak didik pendidikan khas itu. Memang agak meletihkan, merumitkan, tetapi tiada pekerjaan yang mudah dan senang. Jadi perasaan yang negatif itu dengan sendirinya telah bertukar menjadi positif. Alhamdullilah...

Pengalaman pertama bersama pendidikan khas ini turut dikongsi oleh Cikgu Ros. Ketiadaan pengalaman dalam bidang ini mengundang rasa takut-takut dan cuak bagi cikgu Ros. Seorang pelajar meminta izin untuk makan ketika di dalam kelas tidak diendahkan. Ya, peraturan sekolah dan kelas sendiri tidak membenarkan mana-mana pelajar sesuka hati untuk makan. Bahkan cikgu juga mestilah tegas dalam melaksanakan peraturan-peraturan yang dibuat demi kebaikan pelajar itu sendiri.

Pelajar : Cikgu, saya nak makan roti. (sambil mengeluarkan roti dari begnya)
Cikgu : Tidak boleh makan sekarang. Bukankah kita didalam kelas ni...
Pelajar : Saya nak juga. Saya nak makan juga. (sambil cuba membuka bungkusan roti)
Cikgu : TIDAK BOLEH MAKAN. Nanti makan dikantin sekolah (sambil roti dirampas cikgu)
Pelajar : Menangis... meraung sekuat hati... berguling-guling diatas lantai....
Cikgu : ..... (terkedu, terkejut)

Kalau anda sebagai guru disituasi ini, apakah penyelesaian yang akan diambil?

Pendekatan pendidikan khas adalah berbeza berbanding dengan pendidikan aliran perdana. Pendekatan disini diubahsuai supaya selari dengan latar belakang pelajar-pelajar istimewa ini.
Pendekatan ini juga memerlukan kesabaran, ketabahan dan keberanian dalam menempuh cabaran-cabaran yang mendatang. Pendekatan ini juga membuatkan guru-guru pendidikan khas menjadi lebih sayang dan kasih kepada aliran ini dan anak didiknya.

Tak kenal maka tak cinta...